: :pesan pada DIRI tabahkan hati kuatkan semangat, pesan pada HATI kukuhkan IMAN banyakkan ZIKRULLAH, pesan pada NALURI jangan mengeluh & kecewa, tiada daya & rezeki melainkan dari ALLAH: :

Rahsia tandatangan.....  

Posted by: an-Nisa` in

Kenali sidia menerusi tandatangan

Karisma, rahsia individu tersimpan dalam bentuk tulisan

BANYAK cara sebenarnya untuk `membaca’ seseorang. Baikkah dia, jujurkah dia atau sebenarnya dia seorang yang tidak boleh dipercayai, tidak jujur, tidak ikhlas juga penipu.

Berkawan dan mengenali untuk mendapatkan semua maklumat ini adalah cara terbaik tapi ada ketikanya ia akan membuang masa, tenaga dan lebih malang, harta-benda, jiwa dan raga bila akhirnya insan yang dikenali ini hanya indah rupa...hendak pula bila bercinta.

Ketika itu, segala-galanya sudah tidak bermakna, air mata membazir sia-sia. Inilah yang dikatakan sesal kemudian tidak berguna.

Justeru, ramai yang mencuba-cuba `mengorek’ rahsia insan yang baru dikenali menerusi tulisan juga tanda tangan. Bukan suatu yang mudah tetapi tidak salah mencuba bukan?

Tetapi benarkah tulisan dan tanda tangan mampu merungkai rahsia? Benarkah tulisan dan tanda tangan boleh menceritakan sifat sebenar tuan punya badan?

Menurut pakar psikologi dan grafologi (pakar anilisis tulisan), tanda tangan mempunyai pelbagai makna. Ia melambangkan identiti dan membawa nilai tertentu. Tanda tangan mampu menampakkan maksud ego dan perjalanan hidup seseorang.

Tanda tangan yang terputus-putus membawa erti perjalanan hidup pemiliknya tidak lancar kerana tidak mempunyai perancangan awal yang matang.
Jika tanda tangan melingkar bermakna pemiliknya suka mengeluh dan sering memikirkan kesusahan berbanding kesenangan.

Tanda tangan yang kecil pula menunjukkan orang itu banyak berahsia. Urusan dengan orang sebegini sentiasa sukar diselesaikan. Selok-belok pada tanda tangan menunjukkan hidup si empunya diri menjadi perhatian orang atau boleh juga diibaratkan sebagai gangguan luar. Boleh jadi juga orang ini suka memanipulasi diri, mengada-ngada atau suka berbohong.

Ramai juga yang melakar garisan di bawah tanda tangan. Garisan ini sebenarnya mempunyai erti. Kalau garis itu kena pada bawah tanda tangan, orangnya suka bergantung dengan orang lain. Coretan garis itu juga sepatutnya lurus. Jika hujungnya ke bawah, ketika tua nanti hidupnya susah. Lebih teruk lagi jika hujungnya berkait, hidupnya di kelilingi hutang.

Merujuk pada buku tulisan pakar grafologi, Dr Margaret Gullan-Whur berjudul What Your Handwriting Reveals, beberapa aspek harus dilihat dalam menganalisis tanda tangan iaitu maksud tanda tangan, penempatan, ukuran, keseimbangan, pembetulan, kejelasan dan unsur tambahannya.

Jelas beliau dalam bukunya itu, umumnya tanda tangan direka oleh seseorang bagi menampilkan ciri keperibadiannya. Mereka yang memiliki dua bentuk tanda tangan yang hampir serupa pula berkemungkinan memiliki dua identiti.

Jika tanda tangan diletakkan tepat di atas garis yang disediakan, ia menggambarkan rasa hormat terhadap diri sendiri dan juga pihak berkuasa. Jika ia agak di atas sedikit daripada garisan, ia menandakan kegembiraan berkaitan dengan dokumen yang ditandatangani itu dan jika di bawah garisan pula ia menunjukkan kemurungan.

Tanda tangan yang menaik menampilkan rasa percaya diri yang tinggi dan sebaliknya jika ia menurun.

Tanda tangan yang cenderung ke kiri dari tempat tersedia menunjukkan rasa takut (pada orang lain atau kegagalan) manakala ke kanan pula bermaksud kurang perhatian.

Tanda tangan lebih kecil daripada teks tulisan mengungkapkan keinginan untuk menyendiri sebaliknya tanda tangan besar memberi maksud ingin menonjolkan diri. Bila hurufnya besar dan rapat, ia melambangkan kesombongan manakala pendapat lain menyebutkan tanda tangan kecil, mampat dan pendek menunjukkan rasa rendah diri.

Ada juga yang bukan sekadar meletakkan nama sendiri pada tanda tangan. Nama keluarga juga dilakar bersama. Jika nama keluarga lebih rendah daripada nama depan ia menunjukkan sifat murung pada pemiliknya.

Bagaimana tanda tangan anda sekarang? Dengan segala penjelasan di atas mungkin ada yang sudah mula mencongak untuk mengubah tanda tangan. Kalau dulu tanda tangan menurun, mungkin sudah ada yang cuba-cuba mencipta tanda tangan baru yang menaik.

Apapun, tiada siapa mengajar kita merancang atau memilih tanda tangan. Kanak-kanak yang sudah mengenali huruf, sudah pandai membaca juga pandai mencipta tanda tangan mengikut kreativiti mereka.

Tanda tangan ketika kecil tidak akan kekal biasanya. Keraguan mencipta tanda tangan akan berlaku ketika remaja dan seterusnya apabila meningkat dewasa. Biasanya, tanda tangan yang tercipta kala dewasa ini akan kekal, apatah lagi jika tanda tangan ini sudah digunakan untuk pelbagai urusan seperti perbankan.

Mungkin ini juga petanda kita sudah mencapai tahap kematangan. Tahu apa yang nampak menarik mungkin juga unik sesuai dengan usia dan kehidupan.

Bagaimanapun, Prof Dr John Nimpoeno, pakar psikologi dan grafologi dari Kampus Pasca Sarjana Universitas Parahyangan, Bandung, Indonesia berpendapat sebaliknya.

"Memang dalam tanda tangan ada unsur yang menunjuk sifat atau karakter seseorang, tapi tidak selengkap grafologi (tulisan tangan). Tulisan tangan mampu menunjukkan keadaan yang berlaku pada pemiliknya tetapi tidak tanda tangan kerana unsurnya tidak lengkap.

“Ada berpuluh indikator pada grafologi sedangkan tanda tangan hanya sebahagian daripadanya,” katanya.

Berdasarkan grafologi, gerakan menulis jelas ada hubungannya dengan keadaan psikologi seseorang. Pemikiran dan emosi walau sesaat sekalipun mampu dibaca pada tulisan tangan dan kerana itu, tulisan tangan mampu mencerminkan keperibadian seseorang.

Kata Dr John Nimpoeno lagi, tanda tangan muncul hasil daripada gerakan automatik dan kerana itu ia tidak dapat menceritakan sepenuhnya keperibadian seseorang. Tanda tangan diramal? Itu cuma cerita rakyat, katanya.

Anda bagaimana? Apa pandangan anda? Mampukah tanda tangan membantu anda mengenali keperibadian seseorang? Bak kata Pakar Grafologi dari Pusat Grafologi Anna Koren, Anna Koren, sekalipun tanda tangan boleh dianalisis, penilaiannya lebih mengikut gerak hati.

Oleh itu, bila mengenali seseorang, dengarlah kata hati anda...

Makna tersirat di sebalik tanda tangan:

1. Satu garisan di bawah tanda tangan

· Seorang yang sangat yakin

· Ada personaliti yang hebat

· Agak mementingkan diri sendiri

· Percaya bahawa kebahagiaan dalam hidup sangat perlu

2. Dua titik di bawah tanda tangan

· Anda romantik

· Mudah bertukar pasangan macam tukar baju

· Memilih kecantikan (bagi lelaki)

· Sentiasa berusaha untuk kelihatan cantik (bagi wanita)

· Mudah menarik perhatian orang untuk berdamping

3. Satu titik di bawah tanda tangan

· Anda kelihatan mudah dan tenang

· Cepat hilang kepercayaan pada orang anda percayai apabila dikhianati

4. Tiada garisan/titik di bawah tanda tangan

· Seronok dengan kehidupan

· Ikut gaya dan cara sendiri

· Kurang memberikan perhatian pada pandangan orang lain

5. Tanda tangan yang tiada kaitan dengan nama

· Anda sentiasa berusaha supaya smart

· Suka berselindung

· Jarang mengambil pandangan orang lain sebagai panduan hidup

· Yakin dengan kebolehan diri sendiri

6. Tanda tangan berasaskan ejaan nama tapi sukar nampak

· Anda cerdik tapi kurang hendak berfikir

· Anda cepat menukar pandangan dan idea

7. Tanda tangan huruf satu-satu, tidak bersambung

· Seorang yang sangat prihatin

· Tidak pentingkan diri sendiri

· Sanggup berkorban apa saja untuk orang lain

· Seorang pemikir

· Seorang yang mudah serik

8. Tanda tangan ikut ejaan nama dengan huruf yang jelas

· Seorang yang sangat baik

· Boleh menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan atau dengan siapa saja anda berurusan

· Tegas dengan pendapat sendiri

· Ada semangat yang tinggi

Info grafologi

Grafologi adalah seni menilai karakter dan keperibadian seseorang menerusi tulisan tangan dan tanda tangan mereka. Ia boleh memberi petunjuk kehidupan seseorang mengenai perniagaan, kehidupan, keluarga dan hubungan, kesetiaan, kejujuran dan semangat serta apa saja.

Ia adalah sesuatu yang saintifik. Tulisan tangan juga dikenali sebagai tulisan otak (brain writing). Otak memberi arahan pada tindakan menulis. Jika berlaku ketidakupayaan yang menyebabkan seseorang tidak dapat menggunakan tangan, individu terbabit masih boleh menulis dengan meletakkan pen pada gigi atau jari kaki. Hakikatnya, otak yang membantu kita menulis, tangan hanyalah medium untuk melaksanakannya.

Ketepatan pakar grafologi menganalisis tulisan dan tanda tangan bergantung pada kepakaran dan bakat pakar terbabit sebagaimana pakar psikologi klinikal. Seseorang ahli grafologi memerlukan tempoh kira-kira lapan tahun untuk benar-benar mahir dalam bidang ini.

Grafologi banyak digunakan dalam pemilihan pekerja di Amerika Syarikat dan Eropah. Mengikut laporan Wall Street Journal terbitan 3 September 1985, 80 peratus syarikat Eropah menggunakan grafologi dalam memilih pekerja. Begitu juga di Amerika Syarikat, syarikat seperti General Electric, International Harvester, US Steel, Firestone Tire Company dan lebih 3,000 syarikat lain menggunakan grafologi untuk pemilihan pekerja mereka.

Tanda tangan juga adalah unsur penting dalam grafologi. Tanda tangan melambangkan nilai dan keperibadian seseorang. Kebanyakan ahli dan pakar grafologi menilai kedua-dua tulisan dan tanda tangan untuk mendapatkan gambaran atau membuat ramalan mengenai diri dan kehidupan seseorang. Memilih antara dua - tanda tangan atau tulisan - ibarat memilih antara bapa dan ibu.

This entry was posted on 10:23 AM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

2 komen ikhlas dari kamu

Info yang bagus boleh belajar mengenali diri dan orang lain

http://thecooltools.blogspot.com>Freeware Software

artikel yang menarik!!!!

suka suka!!!! thanks........!!!

Post a Comment