: :pesan pada DIRI tabahkan hati kuatkan semangat, pesan pada HATI kukuhkan IMAN banyakkan ZIKRULLAH, pesan pada NALURI jangan mengeluh & kecewa, tiada daya & rezeki melainkan dari ALLAH: :

Tulisan Jawi Dalam Pendidikan  

Posted by: an-Nisa` in

Sejak abad ke 15 dan seterusnya, pengajaran Islam dalam bahasa Melayu dengan mengguna kitab dan buku tulisan jawi diajar di masjid, surau, madarasah, sekolah pondok dan di rumah tok guru di merata tempat di Malaysia dan Indonesia. Pendidikan Islam tradisi ini sangat berpengaruh di kalangan orang Melayu.

Semasa zaman penjajahan Inggeris di Malaysia, Pendidikan Islam (Islamic Studies) tidak diajar di sekolah kerajaan, sama ada di Sekolah Melayu atau di sekolah Inggeris. Tetapi tulisan jawi diguna untuk mengajar membaca dan menulis di Sekolah Melayu Darjah 1 - 6. Kebanyakan murid Muslim belajar agama Islam di sekolah agama di sebelah petang, dengan mengguna buku tulisan jawi.

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru memaktubkan Agama Islam sebagai agama rasmi negara, dan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Dengan itu Pendidikan Islam diajar sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah. Tetapi skrip tulisan rasmi bahasa Melayu ialah skrip rumi. Tulisan jawi sudah tidak dianggap penting dalam urusan rasmi, termasuk dalam pendidikan. Akta Bahasa Kebangsaan 1963, (dan dikaji semula 1967), juga mengiktiraf skrip rumi sebagai skrip rasmi.

Masalah Kelemahan Membaca dan Menulis Jawi di Kalangan Murid Sekolah Rendah dan Menengah

Dengan termaktubnya rumi sebagai skrip rasmi bahasa Melayu, maka semua buku teks termasuk buku teks Pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah diterbit dalam huruf rumi saja. Tulisan jawi tidak lagi diajar di sekolah kerajaan (1960)

Dengan ini mulalah merosotnya kemahiran murid membaca dan menulis jawi. Bahkan ada di antara pelajar yang tidak belajar di sekolah Agama Islam disebelah petang, mendapati sukar membaca Al-Quran. Hanya di negeri-negeri seperti Johor, Kelantan dan Selangor yang mempunyai sistem ‘sekolah agama’ nya sendiri yang pelajar dapat belajar agama Islam dalam tulisan jawi.

Kemorosotan ini berterusan sehingga awal tahun 1980an. Desakan dari masyarakat Melayu bertambah kuat supaya tulisan jawi diajar semula di sekolah dan tulisan jawi diguna untuk menerbit buku teks.

Dalam tahun 1982, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR ), memasukkan semula tulisan jawi sebagai sebahagian dari Pendidikan Islam untuk murid Tahun 3 – 6, dan diajar 30 minit seminggu. (Sukatan Pelajaran Agama Islam Sekolah Rendah, Kementerian Pendidikan, Malaysia 1982). Kesannya tentulah amat terhad. Desakan makin bertambah apabila gejala kemorosotan pendidikan Islam di kalangan pelajar Islam meningkat dan ramai yang tidak boleh membaca Al-Quran. Resolusi dalam satu Konvensyen tentang tulisan jawi pada 8 – 11 April, 1984 di Terengganu, mendesak kerajaan supaya memasukkan semula tulisan jawi dalam kurikulum sekolah. Murad Mohd Noor, Ketua Pengarah Pelajaran ketika itu (1984) mengisytiharkan bahawa jawi dimasukkan semula dalam kurikulum sekolah, sebagai sebahagian daripada Pendidikan Islam.

Sebagai langkah yang drastik, pada 1986 semua buku teks Pendidikan Islam sekolah rendah diterbitkan dalam tulisan jawi dan tidak lagi dalam tulisan rumi. Mulai tahun 1988 semua buku Pendidikan Islam Tingkatan 1 dan kemudian buku bagi Tingkatan seterusnya, diterbitkan dalam tulisan jawi. Guru agama Islam diarah supaya mengguna tulisan jawi dalam pengajaran mereka.

Perubahan yang mengejut ini mengakibatkan tinggi peratus pelajar Muslim di sekolah rendah dan menengah tidak dapat membaca buku teks jawi, kerana mereka tidak menguasai kemahiran membaca dan menulis jawi. Pengetahuan Islam mereka terhad, dan minat mereka juga rendah.

Kelemahan murid Muslim dalam membaca dan menulis jawi di peringkat sekolah rendah dan menengah yang dikesan sejak tahun 1980an itu berterusan sehingga ke tahun-tahun 1990an. Di sini diperturunkan beberapa kajian yang relevan.

Kajian tinjauan di kalangan 112 guru Pendidikan Islam Tingkatan 1 di Selangor oleh Sarin bin Talib dalam tahun 1995 mendapati 75 % guru menyatakan separuh daripada pelajar mereka tidak boleh membaca buku teks Jawi Pendidikan Islam; 65-68% menyatakan pelajar mereka tidak boleh membaca Quran dan Hadith.

Kajian Isahak Haron dan Hasan Basri (1995) tentang prestasi Jawi pelajar Tingkatan 2 dan 4 di beberapa buah sekolah di Selangor dan Pahang mendapati lebih 65% tidak boleh menulis Jawi, dan lebih 45% yang tidak boleh membaca teks Jawi. Tidak ada usaha dan kaedah ‘pengajaran pemulihan jawi’ dijalankan di sekolah.

Kesan kelemahan membaca dan menulis Jawi di sekolah rendah dan menengah ialah murid tidak dapat membaca buku teks Pendidikan Islam yang ditulis dalam huruf Jawi dan ini mengurangkan keupayaan mereka memahami kandungan Pendidikan Islam; dan Pendidikan Islam itu kurang bermakna kepada mereka.

J –QAF

Usaha untuk memperbaiki kelemahan Jawi ini dibuat dari semasa ke semasa, termasuk pengajaran pemulihan Jawi oleh guru di sesetengah sekolah. Kelemahan ini dipandang serius oleh kerajaan kerana ia akan menjejaskan pendidikan dan penghayatan Islam di kalangan generasi muda. Pada 2004 Kementerian Pelajaran telah memutuskan untuk mengadakan program khas, yang dinamakan J-QAF bagi mengukuhkan pengajaran - pembelajaran Pendidikan Islam di sekolah rendah.

Program ini bertujuan supaya pada akhir enam tahun persekolahan rendah, semua murid menguasai hal-hal berikut:

J – Jawi, boleh membaca dan menulis Jawi dengan baik;

Q – Qatam Quran: boleh membaca dan qatam Quran

A – boleh membaca dan menulis bahasa Arab peringkat asas;

F – mengetahui dan mengamalkan Fardu ain.

Program J-QAF ini bermula pada tahun 2006, tetapi projek perintisnya bermula pada tahun 2005 di beberapa buah sekolah rendah. Pengajaran Jawi merupakan komponen penting dalam program pengukuhan Pendidikan Islam ini. Objektif pengajaran-pembelajaran Jawi ialah supaya semua murid dapat membaca dan menulis skrip Jawi dengan baik sebelum tamat Tahun 6 sekolah rendah. Ini akan membolehkan mereka membaca buku teks Pendidikan Islam dalam tulisan jawi dan menulis jawapan dalam tulisan Jawi. Tahap 1 (Tahun 1 – 3) merupakan waktu penting untuk memberi asas membaca dan menulis jawi kepada murid. Dua waktu (60 minit) seminggu diperuntukkan untuk belajar jawi.

This entry was posted on 10:39 PM and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

5 komen ikhlas dari kamu

Boleh saya tahu dari mana awak ambil bahan ini?tq :-)-awie

ni salah satu subjek (JAWI & KHAT) yg ana amik utk pengajian ana di UKM...ana petik dr buku tersebut (^_^)

kalau boleh nyatakan tajuk seta penulis buku tu ye..terima kasih artikel yang baik

boleh nyatkan x tajuk serta penulis buku tersebut.artikel yang menarik

boleh nyatkan x tajuk serta penulis buku tersebut.artikel yang menarik

Post a Comment